HKK 2023 jana industri kraf tempatan
KUALA LUMPUR – Penganjuran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 dijangka mampu menjana sehingga RM16 juta menerusi jualan produk kraf.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, HKK2023 adalah sebahagian daripada persiapan keseluruhan kerajaan untuk Melawat Malaysia 2025 di samping meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kami telah pun melihat peningkatan sebanyak 44.1 peratus dalam jualan kraf tradisional pada 2022 berbanding 2021, dan kami berharap sama ada dapat mengekalkan atau menambah baik pertumbuhannya pada tahun ini.
“Kami berharap acara ini (HKK2023) akan menggalakkan lebih ramai orang, terutamanya mereka dalam kumpulan B40, untuk mempertimbangkan untuk mengambil kraf sebagai sumber pendapatan utama atau sekunder mereka.
“Ini kemudiannya akan meningkatkan kepelbagaian penawaran produk kraf mampu milik berkualiti tinggi di pasaran untuk memenuhi keutamaan pelawat tempatan dan asing, seterusnya meningkatkan permintaan industri kraf.
“Penggunaan dan kemasyhuran produk buatan Malaysia kemudiannya akan tersebar dengan lebih meluas, seterusnya merancakkan sektor pelancongan secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan HKK 2023, di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
HKK 2023 berlangsung dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula 1 hingga 13 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, diikuti dengan Festival Kraf Kebangsaan mulai 10 Mac hingga 19 April di bebrapa pusat beli belah terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak.
HKK pada kali ini bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ menampilkan gerai daripada 380 usahawan dan komuniti kraf yang berbeza, yang berasal dari pelbagai budaya dari seluruh Malaysia.
Selain membeli-belah, pengunjung turut berpeluang untuk mengambil bahagian dalam seminar kraf pendidikan, demonstrasi membuat kraf secara langsung dan pelajaran membuat kraf DIY.
Terdapat juga persembahan tradisional yang mempamerkan keindahan tradisi kaum di Malaysia, antaranya joget Melayu dan tarian tradisional lain daripada budaya Cina, India, Sabah dan Sarawak.