Jenayah & Mahkamah

Fattah Amin masih sayang Fazura, belum setuju lepaskan isterinya

SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Fattah Amin belum bersetuju untuk melepaskan isterinya, Nur Fazura pada sebutan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pagi tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan Peguam syarie mewakili Fattah Amin, Zulkifli Che Yong yang menyifatkan adalah tidak wajar buat anak guamnya menyatakan sebarang fakta di sebaliknya.

Katanya, ia kerana tindakan sedemikian akan akan memprejudiskan kes yang masih berlangsung pada ketika ini.

“Saya ingin jelaskan secara umum mengenai kenyataan dikeluarkan kepada kami selepas ditanya oleh pihak mahkamah.

“Fattah belum bersedia atau bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya. Ini kerana, usaha sedang dilakukan untuk memuktamadkan terma bagi menyelesaikan isu.

“Terma berkenaan perlu diselesaikan sekiranya mahu isu ini diselesaikan secara baik agar tidak dipanjangkan lagi perkara yang belum selesai,” katanya.

Pada masa yang sama, Fattah Amin menegaskan dia masih berpegang kepada kenyataanya sebelum ini bahawa dia masih menyayangi isterinya, selain meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Alhamdulillah permudahkan urusan hari ini dan saya minta juga pada semua doakan yang terbaik untuk kami. Saya masih lagi pegang kepada kenyataan yang sebelum ini masih sayangkan Fazura,” ujarnya di perkarangan mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan selanjutnya.

Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Maklumat lanjut mengenai permohonan cerai tersebut masih menjadi tanda tanya susulan pasangan selebriti terbabit enggan mendedahkan mengenai punca keretakan rumah tangga mereka.

Pada masa yang sama, Fattah dilaporkan berkata, dia terkejut selepas menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Show More

Related Articles

Back to top button