Berita SemasaPolitik

PRK DUN Mahkota: Peluang kemenangan BN bukan 50-50 – Johari Ghani

KLUANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani tidak bersetuju dengan ramalan Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching yang menyatakan peluang kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota masih 50-50.

Johari berkata, tiada siapa yang boleh membuat ramalan tepat sebelum keputusan rasmi diumumkan.

“Selagi keputusan belum keluar, tiada siapa yang boleh predict (ramal),” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, Teo menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu mempertahankan kerusi DUN Mahkota, namun beliau mengakui bahawa peluang kemenangan masih berada pada tahap 50-50.

Ahli Parlimen Kulai itu juga menyeru pengundi untuk keluar beramai-ramai bagi membuat pilihan yang bijak, sambil menegaskan bahawa DAP, sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan akan berusaha keras membantu kempen di Mahkota.

Dalam ucapan kepada jentera BN dan masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Lian Seng malam tadi, Johari turut memberi nasihat kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, agar berusaha seiring dengan perubahan dalam politik.

“Kita kena ubah cara fikiran. Tiada kerusi DUN atau Parlimen yang dijamin menang. Ada kerusi yang kita anggap pasti menang, akhirnya kalah. Ada pula yang kita anggap 50-50, tetapi berjaya meraih kemenangan besar,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa dinamika politik boleh berubah, merujuk kepada kejayaan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022.

Ketika itu, BN tidak yakin sepenuhnya dengan peluang mereka, namun akhirnya berjaya memperoleh dua pertiga majoriti.

“PRN Johor ketika itu telah menjadi penanda aras untuk kita hadapi PRU-15. Justeru, pastikan pengundi kita keluar mengundi,” tambah beliau.

Johari juga berkongsi bahawa kejayaan BN bergantung kepada tiga faktor utama iaitu calon, parti, dan jentera.

Show More

Related Articles

Back to top button