Berita SemasaBisnes & Ekonomi

LTAT, Boustead labur RM45 juta bina stesen minyak di luar bandar

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikatnya, Boustead Holdings Bhd, melabur sebanyak RM45 juta untuk membina sepuluh stesen minyak di kawasan luar bandar bagi memudahkan akses kepada bahan api bersubsidi.

Bagi melancarkan inisiatif itu, anak syarikat Boustead, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lapan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Datuk Seri Ahmad  Zahid Hamidi

Antara agensi terlibat ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Menurut BHPetrol, lapan lokasi telah dikenal pasti untuk pembinaan 10 stesen minyak tersebut, manakala dua lokasi tambahan masih dalam kajian.

Antara lokasinya ialah Kampung Awah di Temerloh, Pahang; Sri Gading di Batu Pahat, Johor; Pejabat Zon 4 Keda di Sik, Kedah; Bendang Man di Sik, Kedah; Sungai Tengas di Serdang, Kedah; Ara Kuda di Pulau Pinang; Taman Kesedar Putra 2 di Kelantan; Tumbi Rapat di Jeli, Kelantan; Bandar Penawar di Johor dan Kubang Menerong di Pulau Pinang.

Melalui inisiatif itu, Mara Inc. memperuntukkan RM1.5 juta untuk pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di 50 stesen BHPetrol sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir Azizul Azily Ahmad berkata, pelan pembangunan stesen minyak di kawasan luar bandar dan wilayah itu merupakan peluang yang bernilai untuk pertumbuhan jangka panjang di kawasan luar bandar.

“Kedua-dua pihak, termasuk agensi seperti Felcra dan BHPetrol, mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan rancangan yang dicadangkan dapat direalisasikan.

“Stesen minyak yang akan dibina adalah daripada jenis dealer owned dealer operated (DODO), yang bermaksud operasi stesen-stesen ini akan diuruskan oleh agensi-agensi yang terlibat.

“BHPetrol telah menilai dan mengenal pasti kesesuaian tapak yang dicadangkan oleh setiap agensi yang mengambil bahagian. Seterusnya, terdapat kelulusan yang perlu diperoleh oleh setiap agensi.

“Tambahan lagi, melalui skim itu, hartanah yang belum dibangunkan boleh dioptimumkan untuk digunakan dengan membina stesen minyak, yang boleh menjadi sumber pendapatan baharu bagi agensi-agensi terlibat,” katanya pada majlis mou semalam.

Azizul yakin bahawa inisiatif itu akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan melalui inisiatif perniagaan dan peluang pekerjaan untuk belia di kawasan luar bandar.

“Inisiatif itu juga akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk di sana.

“Sementara itu, kerjasama dengan Mara Inc. dalam melaksanakan sistem fotovoltaik solar di 50 stesen BHPetrol terpilih bertujuan menjana tenaga elektrik dan haba di lokasi-lokasi tersebut, memudahkan peralihan kepada tenaga rendah karbon.

“Kami percaya inisiatif ini akan menyumbang secara berkesan kepada pengurangan jejak karbon Malaysia, mencapai keseimbangan yang tepat antara kelestarian, keselamatan, dan kemampuan.

“Bertujuan mewujudkan ekosistem tenaga rendah karbon yang lebih berdaya tahan serta berfungsi sebagai pemangkin dalam mengubah ekonomi ke arah yang lebih mampan.” katanya lagi.

BHPetrol juga bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera yang menghasilkan barangan pada skala perusahaan kecil dan sederhana.

Azizul berkata kerjasama itu akan membolehkan penempatan produk-produk tersebut di lebih 300 kedai serbaneka di stesen minyak BHPetrol, dikenali sebagai BHPetromart.

Show More

Related Articles

Back to top button