Berita Semasa

KPM akan pastikan anak-anak GISBH kembali ke pendidikan formal

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan perbincangan bagi memastikan kanak-kanak dari rumah amal GISBH mendapat akses kepada pendidikan formal.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu bertujuan untuk mengelakkan kanak-kanak tersebut daripada tercicir dan membantu mereka kembali ke sistem pendidikan kebangsaan.

“Program pendidikan ini dijangka bermula pada 1 Oktober 2024 dan akan dilaksanakan dalam fasa pertama selama dua bulan dan disesuaikan dengan keberadaan mereka di institusi kebajikan dan jika perlu, ia akan dilanjutkan ke fasa kedua,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa program ini menggunakan pendekatan konsep sekolah nukleus dan kelas satelit berpandukan model yang digunakan dalam Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS).

“Guru-guru dari sekolah nukleus akan hadir mengajar di luar institusi pendidikan, seperti yang telah berjaya dilaksanakan di beberapa sekolah luar bandar,” katanya lagi.

Pelaksanaan konsep ini akan menggunakan kemudahan sedia ada di pusat perlindungan untuk membuka kelas satelit yang menempatkan kanak-kanak mengikut kategori umur, termasuk Prasekolah, Tahap 1, Tahap 2, Menengah Rendah dan Menengah Atas.

Dalam usaha memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan baik, KPM akan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) pada fasa pertama.

Fadhlina berkata, kit tersebut menekankan aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal bagi memastikan kanak-kanak tersebut bersedia dari segi keyakinan diri serta penguasaan literasi dan numerasi.

“Fasa pertama ini membolehkan kanak-kanak menyesuaikan diri dengan persekitaran baru serta membina hubungan baik dengan guru dan rakan-rakan mereka,” katanya lagi.

Fasa kedua pula akan memberi tumpuan kepada penyediaan kanak-kanak dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk meneruskan pembelajaran.

KPM juga sedang merancang pelan jangka panjang bagi memastikan kanak-kanak tersebut terus menerima pendidikan formal.

“Kami akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan setelah status mereka dimuktamadkan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.

Usaha ini memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas ini.

Show More

Related Articles

Back to top button