Kes demam denggi catat penurunan, tiada kematian direkodkan
PUTRAJAYA – Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-37 (ME-37) mencatatkan penurunan daripada 1,870 kes minggu sebelum ini, kepada 1,794 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME-37.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-37 adalah sebanyak 100,236 kes berbanding 84,865 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Manakala terdapat 89 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 59 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhammad Radzi berkata, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu ME-37 adalah sebanyak 43 lokaliti berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
“Dari 43 lokaliti yang dilaporkan, 32 lokaliti di Selangor, tiga di WPKL dan Putrajaya, tiga di Perak, dua di Negeri Sembilan, dua di Pulau Pinang dan satu di Kelantan,” ujarnya.
Mengulas mengenai survelan chikungunya, Radzi berkata, tiada kes direkodkan pada ME-37, menyaksikan jumlah kumulatif kes itu kekal 72 kes dengan tiada wabak Chikungunya dilaporkan.
“Bagi survelan zika pula, sebanyak 1,934 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan semua keputusan adalah negatif,” katanya.
Tambah Radzi, masyarakat dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti-fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala-gejala demam denggi seperti demam dengan suhu tinggi secara mengejut, sakit otot, sakit sendi, sakit pada belakang mata dan sakit kepala.
“Bagi memastikan pengesanan awal dapat dibuat, semua kes disyaki denggi akan dijalankan ujian pengesahan demam denggi menggunakan kit ujian pantas combo yang mana keputusannya boleh diperolehi dalam masa 20 hingga 30 minit.
“Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelakkan berlakunya kematian akibat komplikasi demam denggi,” tambahny dalam kenyataan itu.