Sanusi di Jepun bukan melancong tetapi atas urusan rasmi – Pejabat Menteri Besar Kedah
ALOR SETAR – Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini berada di Jepun untuk bercuti sebaliknya adalah atas urusan rasmi.
Kenyataan itu muncul susulan tularnya mesej di media sosial yang mengecam tindakan menteri besar itu ketika negeri di bawah pentadbirannya dilanda banjir dan ribut beberapa hari lalu.
Menurut kenyataan itu, keberadaan Muhammad Sanusi di Kumamoto, Jepun adalah untuk mempelajari operasi empangan bawah tanah di wilayah tersebut.
“Ini kerana satu projek alternatif akan dilaksanakan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna di Pulau Permata Kedah sehingga 2040.
“Projek pembinaan empangan air bawah tanah di Langkawi yang dijangka siap pada 2028 merupakan yang pertama di Asia Tenggara,” katanya hari ini.
Pejabat Menteri Besar itu berkata, ketiadaan Muhammad Sanusi di dalam negeri tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan, dan keselamatan di bawah kerajaan negeri serta persekutuan mampu menangani situasi dengan cekap.
“Walaupun berada di luar negara, menteri besar sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan beban bencana yang ditanggung mangsa banjir di Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan,” katanya.
Situasi banjir di Kedah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini mencatatkan peningkatan kepada 6,087 orang setakat jam 7.30 pagi tadi.
Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS itu membabitkan 1,942 keluarga di tujuh daerah, meningkat berbanding 5,483 mangsa daripada 1,726 keluarga yang dilaporkan jam 11 malam tadi.