Pharmaniaga cipta sejarah buka fasiliti hasilkan insulin, vaksin pertama negara
PUCHONG – Industri farmaseutikal Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya membuka fasiliti pengilangan insulin dan vaksin tempatan pertama negara oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembukaan fasiliti oleh Pharmaniaga itu merupakan hasil kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta Boustead Holdings Berhad.
“Kejayaan pembukaan fasiliti ini adalah sejajar dengan komitmen LTAT di bawah kerangka Ekonomi Madani, yang mahukan kita meningkatkan daya cipta dan nilai industri farmaseutikal Malaysia khususnya dalam penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan.
“Jadi, pembukaan dan operasi fasiliti biofarmaseutikal yang berteknologi tinggi ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai syarikat tempatan pertama untuk mengilangkan insulin dan vaksin, malah akan membantu memperkukuh keterjaminan bekalan ubat-ubatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin Pharmaniaga di sini, hari ini.
Terdahulu, pada tahun 2021, terdapat kira-kira 4.4 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes yang memerlukan sejumlah 24.7 juta dos insulin setiap tahun.
Lebih teruk, dianggarkan bilangan pesakit akan terus bertambah sehingga mencecah 5 juta orang menjelang tahun 2030.
Jelas Menteri Pertahanan, unjuran ini menjadi asas dan faktor pendesak yang penting agar negara mempunyai keterjaminan bekalan insulin yang mencukupi bagi menampung kegunaan sekarang dan keperluan pada masa depan.
“Sehubungan itu, menjadi harapan saya agar Pharmaniaga memberi perhatian untuk memastikan segala produk dan perkhidmatannya ini mendapat permintaan, sokongan serta penerimaan yang baik di dalam dan luar negara.
“Pharmaniaga mesti menyerlahkan keupayaannya dengan menerobos dan menguasai pasaran yang lebih besar dengan pelbagai strategik perniagaan yang lebih proaktif dan inovatif,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Pharmaniaga perlu memastikan keterjaminan bekalan ubat-ubatan atau vaksin bagi menampung keperluan dalam negara.
“Selain dapat mengoptimumkan kecekapan perbelanjaan Kerajaan untuk sektor kesihatan, keupayaan menghasilkan vaksin dan insulin sendiri dapat menguatkan keterjaminan bekalan ubat-ubatan atau medical security untuk rakyat negara ini,” katanya.
Jelas Khaled lagi, kebergantungan negara terhadap ubat-ubatan yang diimport juga perlu dikurangkan, sekali gus bebas daripada eksploitasi oleh pemain-pemain utama di peringkat global.
“Usaha ini sekali gus dapat memenuhi aspirasi Halatuju Pelan Pembangunan Vaksin Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar vaksin menjelang 2030,” katanya.
Tambah Khaled, semua usaha berkenaan adalah sebahagian daripada proses untuk memastikan setiap satu entiti di dalam ekosistem pertahanan negara berprestasi tinggi dan memberikan pulangan yang baik.
“Pulangan yang baik bukan sahaja kepada negara secara umum. Tetapi kepada ekosistem pertahanan secara khusus.
“Ini kerana, kejayaan Pharmaniaga akan membolehkan LTAT menerima keuntungan. Perkara ini seterusnya akan menyumbang kepada kelangsungan dividen yang baik kepada para pencarumnya iaitu anggota ATM,” ujarnya lagi.