Berita Semasa

Jadikan Aurad Muhammadiah mas kahwin, status pernikahan anggota GISBH perlu disahkan pejabat agama

KUALA LUMPUR – Status pernikahan anggota Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) dengan mas kahwin satu pusingan Aurad Muhammadiah perlu disahkan oleh jabatan pendaftaran perkahwinan pejabat agama.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, ini kerana Aurad Muhammadiah yang disebut sebagai mas kahwin tersebut merupakan wirid Al-Arqam yang pernah difatwakan sebagai ajaran sesat pada tahun 1994.

“Aurad Muhamadiyyah satu wirid yang telah pun diputuskan oleh fatwa itu yang diamalkan oleh Jemaah Al-Aqram dulu sudah ada fatwanya di peringkat negeri dan kebangsaan yang difatwakan sesat. Adakah ia masih diamalkan atau tidak saya tidak dapat pastikan,” katanya, hari ini.

Mengulas sama ada perkahwinan terbabit sah atau tidak, beliau berkata, perkahwinan yang mempunyai mas kahwin yang jelas adalah sah.

“Disebut dalam akad itu bukan syarat kerana kalau tidak disebut ia akan pergi kepada mahar misil iaitu apa yang sesuai dan patut diberikan kepada pengantin perempuan.

“Bagaimanapun dalam hal ini, kita kena tengok pengesahan daripada jabatan pendaftaran perkahwinan di jabatan agama Islam dan Mahkamah Syariah,” jelasnya lagi.

Beliau turut menjelaskan anak-anak di pusat amal GISBH yang diserbu baru-baru ini didapati ber ‘bin’ kan Abdullah, perkara berkenaan perlu disahkan menerusi dua peringkat.

“Ada dua lapis proses iaitu penentuan nasab oleh jabatan agama, Jabatan Pendafaran Perkahwinan pejabat agama sebelum ke Jabatan Pendaftaran Negara yang akan meneliti sijil yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Sejak beberapa hari lalu, tular video di media sosial menunjukkan sesi akad nikah membabitkan pengikut GISBH.

Video terbabit dengan jelas memaparkan lafaz nikah ahli GISBH yang menjadikan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin.

Show More

Related Articles

Back to top button