Berita SemasaPolitik

Tarikh penamaan calon PRK Mahkota Sabtu ini – SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan tarikh Hari Penamaan Calon (HPC) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kertas penamaan calon hendaklah diserahkan dari pukul 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

Beliau berkata, semua bakal calon yang ingin bertanding membuat persiapan awal serta mengisi borang dan membuat semakan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya negeri Johor sebelum HPC.

“Bakal calon juga dinasihatkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran tersebut sebagai bukti pada HPC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bagi calon yang mewakili parti politik, mereka perlu mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

“Penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan kempen melalui kenderaan serta larangan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan pada HPC,” katanya lagi.

Tambah beliau, perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

Menurut Ikmalrudin, calon yang telah membayar deposit kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“SPR menyeru agar semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar.

“Kerjasama daripada semua pihak adalah penting bagi menjamin kelancaran proses demokrasi,” katanya lagi.

PRK itu diadakan susulan kerusi disandang Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di isytihar kosong selepas kematiannya.

Show More

Related Articles

Back to top button