Politik

LOD RM25 juta: Akmal sedia bersemuka dengan Teresa di mahkamah

KUALA LUMPUR – “Ok nyonya. Kita jumpa di mahkamah. No fear no surrender (tidak takut tidak akan mengalah),” demikian kata Datuk Dr. Muhamad Akmal selepas Teresa Kok mengeluarkan surat tuntutan (LOD) ganti rugi RM25 juta kepada beliau.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh mengeluarkan LOD kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu susulan kenyataan balasnya berhubung isu pensijilan halal.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya, Sankara Nair and Partners, Naib Pengerusi DAP itu menuntut Dr. Muhamad Akmal membayar semua kos guaman dan perbelanjaan berkaitan saman tersebut.

Dakwa Teresa, Dr. Akmal telah memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa berlengah-lengah. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan daripada anda dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada anda lagi,” bunyi notis itu.

Terdahulu, Teresa mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Kok mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran.

Membalas kenyataanya itu, Dr. Akmal melabel Teresa sebagai ‘nyonya tua’, selain meminta kerajaan untuk menyediakan logo tidak halal untuk ditampal di dahi Teresa.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Show More

Related Articles

Back to top button