JAIS terus pantau aktiviti GISBH
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan pemantauan terhadap sebarang aktiviti ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH). No
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pemantauan itu berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
“Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa mengenai kepercayaan dan amalan yang membabitkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa’.
“Berhubung dengan isu GISBH yang sedang tular, pihak JAIS sudah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).
“Penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak-pihak lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berkenaan serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas rumah amal dipercayai dikendalikan GISBH semalam, Mohd Shahzihan berkata, pihaknya sudah meminta supaya barangan yang dirampas diserahkan kepada pihak JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Beliau kemudiannya menambah, dua daripada premis yang diserbu semalam adalah Sekolah Rendah Islam yang berdaftar dengan JAIS iaitu Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2025.
“Sekolah berkenaan mempunyai 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.
“Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah itu pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai lalu, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan.
“Sebuah lagi sekolah iaitu Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly yang didaftarkan pada 12 November 2014 dan akan tamat pendaftaran pada 31 Disember tahun ini.
“Maahad ini terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri,” katanya.
Jelas beliau, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH berdaftar dengan JAIS.
“Dua daripadanya sudah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028.
“Berikutan tindakan dan penemuan polis yang membabitkan sekolah yang berdaftar di bawah enakmen yang berkuatkuasa, JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terbabit mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya.
Pada masa sama katanya, JAIS sentiasa peka dengan apa juga fakta yang membawa kepada penyimpangan daripada ajaran Islam sebenar yang berlaku di Selangor.