Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam beri tumpuan pada lima bidang keberhasilan – KSN
PUTRAJAYA – Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang dipikul Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan memberi tumpuan kepada lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR).
Lima BKR itu adalah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.
Kesemua BKR tersebut diperkukuhkan dengan 20 strategi bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan termasuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Menurut Shamsul Azri, sebahagian besar BKR itu bersifat mudah dicapai dan ada juga yang memerlukan pelaksanaan dalam tempoh jangka masa sederhana serta panjang.
“Untuk merealisasikannya, kita dalam sektor awam tidak boleh bergerak sendiri, sebaliknya akan menggunakan pendekatan diperkenalkan sebagai AI Strategy atau Associated and Integrated Strategy.
“Associated ini menekankan konsep whole-of-nation membabitkan sektor swasta manakala integrated menekankan konsep whole-of-government yang membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan,” katanya.
Shamsul Azri berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024 di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitaripuri, di sini hari ini.
Beliau kemudiannya menambah, pendekatan tersebut boleh dilakukan dengan membangunkan kerjasama strategik dan sinergi antara agensi yang terlibat, perkongsian sumber secara optimum serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
“Terdapat dua pemboleh daya utama yang membantu memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam selain daripada inisiatif yang dilaksanakan iaitu pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi serta komunikasi total.
“Saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu bentuk penganugerahan, pengiktirafan atau penghargaan sebagai pemangkin kepada kementerian dan penjawat awam dalam meningkatkan kecekapan dan melaksanakan penambahbaikan.
“Namakanlah seumpama Anugerah Kecemerlangan Reformasi Perkhidmatan Awam atau apa-apa nama yang bersesuaian.
“Saya yakin, ini akan menyuntik lagi semangat untuk terus komited meningkatkan prestasi dan penyampaian perkhidmatan, memenuhi jangkaan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik bagi rakyat Malaysia,” katanya lagi.