Pelesenan platform media sosial tidak jejaskan pengguna
KULAI – Kementerian Komunikasi memberi jaminan kerangka pelesenan platform media sosial tidak akan menjejaskan para pengguna aplikasi berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelesenan itu adalah bagi memastikan pemilik-pemilik syarikat besar tersebut akur dengan undang-undang Malaysia.
“Saya ingin mengambil ruang ini untuk memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pelesenan ini tidak akan menjejaskan para pengguna seperti kita.
“Langkah ini (pelesenan) adalah untuk memastikan bahawa pemilik platform-platform ini lebih bertanggungjawab untuk bertindak sekiranya jenayah online seperti scam, buli siber, judi atas talian dan sebagainya berlaku di platform mereka,” katanya, hari ini.
Nie Ching berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra, di sini hari ini.
Karnival dua hari bertemakan ‘Literasi Komunikasi, Masa Depan Harmoni’ ini mengetengahkan aspek komunikasi dan keterhubungan tanpa batasan bagi kesinambungan masa hadapan.
Karnival ini juga merupakan salah satu inisiatif kementerian bagi memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai kepentingan jalur lebar serta teknologi komunikasi terkini.
Antara pengisian menarik sepanjang karnival ini termasuklah KK Fun Run, Sukan Rakyat JIWA Komuniti MADANI, pertandingan e-sukan FIFA 2024, perkongsian Unifi sebagai Platform Digital Anda, taklimat keselamatan dalam talian, buli siber dan talian 999.
Pada majlis sama, Nie Ching turut menyampaikan watikah pelantikan kepada lima buah Komuniti MADANI yang melibatkan Parlimen Kulai, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.
Karnival yang akan diadakan sebanyak tiga siri pada tahun ini merupakan kerjasama strategik dengan TM serta kesinambungan inisiatif Pelan Promosi Jalur Lebar anjuran kementerian sejak 2015.