Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pemancing Tasik Pedu ditemui lemas

KUALA NERANG – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar untuk memancing di Empangan Tasek Pedu di sini ditemui lemas pagi ini.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.26 pagi hari ini.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi pada pukul 8.07 pagi.

“Bilik Kawalan BBP Kuala Nerang menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan, maklumat awal yang diperolehi terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas.

“Berikutan itu operasi pencarian di permukaan air dilakukan di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Aminuddin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah kemudian mengarahkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta bot aluminium dari BBP Jitra dan Sik.

Beliau berkata, mangsa kemudian ditemukan lemas pada pukul 11.45 pagi.

Show More

Related Articles

Back to top button