Berita Semasa

Agong zahir rasa gembira dengan sambutan Hari Kebangsaan 2024

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa gembira dengan sambutan Hari Kebangsaan 2024 anjuran kali kedua Kerajaan Perpaduan di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas selesai acara perbarisan Hari Kebangsaan ke-67 sebentar tadi.

“Tuanku sangat gembira dengan acara pada hari ini. Baginda bertitah bahawa beliau gembira dengan sambutan hari ini,” maklum Fahmi.

Sekitar sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. – Foto Najmi Zulkelfe/Malaysia Tribune

Menurut Fahmi yang juga jurucakap rasmi Kerajaan Perpaduan, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Fahmi berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan kemerdekaan negara tahun ini.

“Alhamdulillah sambutan telah berjalan dengan baik dan lancar semua yang kita rancang telah berjalan dengan baik dengan lebih 100,000 ribu pengunjung hadir,” katanya.

Selain itu, Fahmi memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jemaah Menteri turut berpuas hati dengan pelaksanaan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Maklum balas dari Perdana Menterin dan Jemaah Menteri mereka puas hati dan selepas ini kita akan lakukan post mortem (pascanilai) untuk kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk pastikan tahun-tahun mendatang lebih baik dari tahun ini,” ujarnya lagi.

Tarian ‘cuci rasuah’ simbolik iltizam kerajaan memerangi rasuah di Malaysia. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas mengenai tarian ‘cuci rasuah’ yang dipersembahkan pada hari ini, Fahmi berkata, ia adalah simbol kepada iltizam dan komitmen kerajaan untuk memerangi rasuah di bumi Malaysia.

“Ini simbol yang perlu kita ketengahkan dan kita pilih untuk dijadikan persembahan pada sambutan tahun ini kerana inilah iltizam dan komitmen kerajaan untuk memerangi dan mencuci rasuah dari bumi Malaysia.

“Kerajaan juga ingin menerapkan budaya yang baik dalam anggota penjawat awam, pihak swasta dan anggota pentadbiran kerana untuk perangi rasuah semua pihak perlu bekerjasama,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button