Berita SemasaPM X

Kesatupaduan rakyat mampu bawa Malaysia lebih jauh ke depan – PM Anwar

PUTRAJAYA – Sebagai negara yang merdeka, Malaysia memiliki potensi yang hebat dan perkara itu mampu direalisasikan jika semua rakyatnya berpakat dan bersatu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perpaduan amat penting dan tidak boleh diremehkan kerana semangat itu mampu mengangkat darjat negara ke peringkat lebih tinggi.

“Apa kurangnya di negara kita, kesedaran, pencerahan, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan harus diperbaiki untuk yang paling kaya kepada paling miskin.

“Jadi jangan pinggirkan sesiapa kerana semangat perpaduan sangat penting dan tidak boleh diremehkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Beliau kemudiannya menambah, Malaysia kini berada di landasan yang sangat baik dan mampu diangkat dengan lebih cemerlang.

“Kita beri nasihat, anjuran, desakan tapi saya nak guna kesempatan beri amaran bahawa negara ini di tapak landasan sangat baik.

“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli media antarabangsa ke, tugas kita selamatkan negara Malaysia tercinta ini,” tegas Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu budaya baharu dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.

Tegasnya, pimpinan negara harus lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Apa erti kemerdekaan, setiap tahun ribuan anak beratur mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang) menjerit ‘Merdeka’ tetapi jiwa dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran yang berterusan.

“Kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan, dan bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button