Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Penghantaran durian segar pertama negara tiba di China

ZHENGZHOU – Sebahagian daripada 40 tan durian yang merupakan kumpulan pertama eksport durian segar Malaysia ke China ‘mendarat’ di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou hari ini.

Fasa pertama penghantaran durian dari jenis Musang King, D24, IOI dan Black Thorn itu melibatkan 30 tan durian untuk pasaran Zhengzhou yang tiba pada hari ini dan 10 tan untuk pasaran Shenzhen yang dijangka tiba esok.

Sebelum ini, eksport durian tempatan ke negara itu hanya dibekalkan dalam bentuk sejuk beku.

“Fasa pertama penghantaran pada hari ini melibatkan lapan syarikat durian tempatan.

“Durian segar ini akan terus diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi outlet-outlet peruncitan mereka di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Nanning,” menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini.

Penerimaan buah durian segar melalui udara pertama ke China itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama-sama Naib Gabenor Wilayah Henan dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group, Liu Jianmin di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou.

Mohamad Sabu berkata, permulaan eksport durian segar itu bukan sahaja mencatat sejarah baharu bahkan memberi peluang kepada usahawan durian tempatan untuk meneroka pasaran di China seterusnya meningkatkan pendapatan.

Terdahulu Mohamad Sabu ketika mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Henan, Wong Kai menjemput delegasi dari wilayah itu menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang akan berlangsung pada 11 hingga 22 September 2024.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kejayaan pengeksportan durian ke China pada tahun ini akan membuka peluang kerjasama yang lebih luas melibatkan sektor pertanian pada masa akan datang.

Dalam pada itu KPKM memaklumkan prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 berkembang sebanyak 256.3 peratus dengan peningkatan pendapatan sebanyak RM822.8 juta.

“Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion iaitu nilai tertinggi dalam sejarah sehingga kini.

“Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan bernilai RM2.01 bilion,” katanya.

Sementara itu, negara China merupakan pasaran eksport utama durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022 iaitu nilai tertinggi pengeksportan durian ke China setakat ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, KPKM mensasarkan nilai eksport durian meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.

Majlis penerimaan buah durian segar pertama dari Malaysia ke China yang disaksikan oleh Mohamad Sabu di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, hari ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button