CYBERJAYA – Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan kapal penyerang laju (FAC) KD Pendekar telah tenggelam sepenuhnya di posisi 2 batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada pukul 3.54 petang tadi.
Menurut TLDM, ketika ini usaha menyelamat kapal berkenaan melalui operasi salvaj masih dilaksanakan.
“Usaha pantas komuniti maritim telah berjaya menyelamatkan kesemua kru kapal seramai 39 orang sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya.
“Tiada kecederaan dilaporkan (dan) mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor,” kata TLDM dalam satu kenyataan sebentar tadi.
TLDM turut memaklumkan, beberapa aset miliknya turut ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran .
“Orang awam dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah.
“Perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi TLDM,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, TLDM mengesahkan KD Pendekar terkandas di perairan Tanjung Penyusop ketika sedang melaksanakan operasi setelah kapal tersebut mengalami kebocoran di bahagian belakangnya, dipercayai akibat terlanggar objek yang belum dikenal pasti di dalam air.