Berita SemasaLuar NegaraSukan

El Ghazi sumbang RM2.4 juta kepada anak-anak Gaza

ISTANBUL – Pemain bola sepak, Anwar El Ghazi, akan menyumbangkan €500,000 (RM2.4 juta) daripada bayaran yang diterima daripada Mainz kepada anak-anak Gaza, menurutnya pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bayaran tersebut merupakan sebahagian daripada baki gajinya yang perlu dibayar kelab Perancis, Mainz yang sebelum ini menggantungnya daripada bermain kerana kenyataannya menyokong perjuangan rakyat Palestin di Gaza.

Mahkamah Buruh Mainz memutuskan bahawa kenyataan pemain Belanda berdarah Maghribi itu adalah dalam skop kebebasan bersuara dan penyingkirannya adalah “tidak sah.”

Mahkamah mengarahkan El Ghazi terus menerima gaji bulanan sebanyak €150,000 (US$163,500) dan kembali bermain untuk kelab itu.

Mainz pada awalnya menggantung dan kemudian memberi amaran kepada El Ghazi pada bulan Oktober tahun lalu mengenai frasa “River to the sea” yang digunakan di Instagram.

Kemudian, pengurusan Mainz 05 mengumumkan bahawa Anwar El Ghazi telah diampunkan selepas perbincangan.

“From the river to the sea, Palestine will be free” adalah slogan Palestin yang merujuk kepada kawasan antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, yang merangkumi Israel, Tebing Barat, dan Semenanjung Gaza.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mainz atas dua perkara. Pertama, atas bayaran kewangan yang besar, di mana €500,000 daripadanya akan digunakan untuk membiayai projek bagi kanak-kanak di Gaza,” kata El Ghazi di X.

“Saya berharap Mainz, walaupun berulang kali gagal untuk mengelak daripada membuat bayaran yang sewajarnya, mendapat ketenangan daripada hakikat bahawa mereka, melalui saya, telah menyumbang secara kewangan untuk cuba menjadikan hidup kanak-kanak Gaza lebih dapat bertahan,” katanya.

“Kedua, dalam usaha mereka untuk mendiamkan saya, ia menjadikan suara saya lebih kuat untuk golongan yang tertindas dan tidak bersuara di Gaza,” kata pemain berusia 29 tahun itu, yang kini sudah menyertai Cardiff City sebagai ejen bebas dengan kontrak selama setahun, baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button