Program Protege Yayasan LTAT beri ruang, peluang anak warga pertahanan mulakan kerjaya
KUALA LUMPUR – Selepas pelaksanaan projek rintis pada tahun lepas, Program Protege Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) telah berjaya membantu anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM serta Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam mendapatkan pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin berkata, dengan adanya Program Protege ini, ia mampu meningkatkan ketersediaan serta kebolehpasaran peserta apabila melangkah masuk ke dunia korporat menerusi pelbagai pendedahan awal yang diberikan.
“Secara umumnya, kolaborasi inovatif ini berjaya membantu menambah baik dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi anak-anak warga pertahanan serta menyumbang pemacuan ekosistem tenaga kerja semasa, sekali
gus akan dapat melahirkan sumber daya manusia yang terlatih dan berkualiti,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Sebagai rekod, inisiatif Program Protege Yayasan LTAT ini menyediakan penempatan pekerjaan dalam pelbagai industri seperti farmaseutikal, aeroangkasa, minyak dan gas dan penerbangan bermula daripada kelayakan bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Program rintis yang meletakkan YLTAT sebagai pusat sehenti atau one stop centre pada tahun ini menawarkan sebanyak 170 penempatan bagi tempoh 8 hingga 12 bulan bermula Ogos dan September 2024.
Menurut Dr. Mohd Nizar, setakat Ogos tahun ini, sebanyak 98 surat tawaran telah dikeluarkan dengan seramai 50 peserta telah menerima tawaran pekerjaan tersebut dan telah mula bekerja pada bulan ini.
Mengulas mengenai insentif yang disediakan menerusi program tersebut, Dr. Mohd Nizar menjelaskan, peserta Program Protege Yayasan LTAT yang menerima tawaran ini akan mendapat elaun bulanan berjumlah RM2000.
Selain itu, kata beliau, peserta juga akan mendapat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerja (SIP), manfaat cuti dan latihan kemahiran insaniah sepanjang tempoh tersebut.
“Antara syarikat yang menyertai kolaborasi dalam Program Protege ini ialah Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS),” ujarnya.
Dr. Mohd Nizar menambah, menerusi Program Protege ini, calon berpeluang untuk berinteraksi dengan pemimpin industri atau profesional dalam bidang masing-masing.
“Mereka diberi peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin industri dan profesional melalui penglibatan aktif mereka dalam acara seperti mesyuarat, sesi perancangan, dan fasa pelaksanaan projek.
“Dengan menyertai aktiviti-aktiviti ini, mereka memperoleh pengalaman secara langsung tentang bagaimana keputusan dibuat, strategi dibangunkan, dan projek dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Nizar berkata, YLTAT berhasrat untuk menjadi penyelaras bakat dengan sebanyak mungkin rakan strategik untuk menjadikan program protege ini sebagai hab pekerjaan khusus buat anak-anak warga pertahanan.
“YLTAT sedang berusaha untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat dan juga agensi di bawah kemeterian pertahanan yang telah memberikan komitmen mereka untuk melatih protege khas di bawah industri pertahanan dan industri lain juga,” ujarnya.