Berita Semasa

KUSKOP komited bantu PKS tempatan kembangkan perusahaan

RANTAU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk terus membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengembangkan perusahaan mereka sehingga pasaran antarabangsa.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan sedemikian penting bagi menyokong syarikat-syarikat tempatan supaya terus menyumbang kepada ekonomi negara seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Saya amat berbangga melihat kejayaan PKS seperti Bubbles O2 dan kami komited dalam memastikan usahawan tempatan terus mendapat sokongan yang diperlukan.

“Dalam hubungan ini, Kerajaan khususnya KUSKOP akan terus komited untuk mewujudkan pelbagai inisiatif agar pembangunan usahawan dapat terus diperkukuh seterusnya membentuk Malaysia MADANI yang maju dan sejahtera,” katanya.

Ewon berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Pusat Pengilangan Baharu Bubbles O2 Sdn.Bhd, di Kampung Kanchong, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki.

Mengenai majlis hari ini, Ewon berkata, Bubbles O2 adalah salah satu syarikat yang telah menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi di bawah KUSKOP seperti SME Corp. Malaysia, SME Bank, dan PERNAS.

“Sokongan ini termasuklah pembiayaan, geran dan program pembangunan bertujuan membantu syarikat ini mengembangkan perniagaannya di dalam dan luar negara,” katanya.

Jelas Ewon, pada ketika ini, Bubbles O2 telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Indonesia, Dubai, dan Amerika Utara serta merancang meluaskan pasaran ke Eropah dan ASEAN.

Beliau turut berharap supaya syarikat ini akan terus memacu kemajuan dalam industri air mineral beroksigen dan menjadi salah satu syarikat yang dapat membawa nama Malaysia di peringkat global.

Show More

Related Articles

Back to top button