Berita Semasa

Projek LCS berjalan ikut jadual ditetapkan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Proses perolehan aset ketenteraan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada di landasan yang betul dibawah kelolaan Kerajaan Madani.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan projek pembinaan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) kini sedang berjalan mengikut jadual seperti ditetapkan dengan kapal pertama akan diserahkan pada tahun 2026.

“Pembinaan kapal LCS yang telah mula pada tahun 2011 pada ketika ini ianya berjalan mengikut jadual. Jadi insyaAllah dalam tempoh kerajaan yang ada pada hari ini akhirnya kapal LCS untuk negara akan dapat disiapkan,” katanya.

Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap sebagai panel dalam bual-bicara anjuran Penerangan UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, sebagai kesiapgsiagaan menghadapi konflik di Laut China Selatan, perolehan bagi membeli tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) telah dibuat baru-baru ini.

“Kita telah membuat perolehan membeli tiga kapal Littoral Mission Ship (LMS) baru-baru ini dengan harga lebih kurang RM2.5 bilion. Ianya dijangka siap dan penghantaran bermula pada bulan Oktober 2027.

“Kita tahu pergolakan di Laut China Selatan kita tahu pertindihan, tuntutan bertindih dan dinamiknya kawasan itu. Jadi ini antara aset-aset yang kita telah berjaya beli dan insyaAllah ia akan bantu kita,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, Khaled berkata, pelaksanaan program tersebut sedang berjalan dengan lancar dan dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

“PLKN ini adalah bagi tujuan untuk kita pastikan adanya semangat patriotisme dan semangat sayang kepada negara serta hormat menghormati kepada rakyat yang berbilang kaum,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button