Sukan

SUKMA: Nur Afrina sapu bersih acara pecut, raih pingat emas 200m

KUCHING – Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal terus mencipta sensasi selepas memenangi pingat emas 200 meter (m) Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pelari pecut wanita dari Selangor itu menyapu bersih kedua-dua acara pecut selepas mengungguli saingan 100m wanita semalam.

Lebih manis, Nur Afrina sekali lagi memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 23.89 saat (s), sekali gus memadamkan rekod terdahulu yang dipegang pelari Perak, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri 24.37s pada edisi 2016 juga di Sarawak.

Meskipun berlari dalam keadaan trek basah, Afrina yang turun selaku pemenang pingat emas pada edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, menampilkan larian yang cukup bertenaga di Stadium Sarawak petang tadi.

Dalam saingan tersebut, pingat perak dimenangi pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang mencatat 24.52s manakala gangsa diraih wakil Sarawak Ormilla Octavia Codday Nyadau dengan catatan 24.94s.

Afrina yang ditemui selepas larian menzahirkan rasa gembira kerana misinya untuk menang emas dan memecahkan rekod temasya dalam acara 100m dan 200m tercapai.

“Sebenarnya saya sendiri tidak sangka dapat lakukan catatan ini sekarang biarpun saya tahu mampu capainya nanti.

“Ini adalah hasil kerja keras saya dalam latjhan, fokus dan kekal tenang sebelum memulakan aksi. Saya tidak fikir siapa pencabar saya sebaliknya saya menentang diri sendiri,” katanya.

Bagi saingan 200m lelaki, pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan mencipta kejutan apabila memenangi emas dengan catatan 21.221, mengatasi juara 100m dari Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang terpaksa akur di tempat kedua dengan 21.225s.

Pingat gangsa menjadi milik Pengiran Aidil Auf Hajam dari Sabah yang mencatat 21.60s.

Show More

Related Articles

Back to top button