KPN lancar Kempen Kibaran Jiwa Merdeka
PUTRAJAYA – Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dan Hari Malaysia ke-61, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Kempen Kibaran Jiwa Merdeka sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kempen ini menyeru seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang berada di dalam mahupun di luar negara untuk turut serta memuat naik video dan gambar mengibarkan Jalur Gemilang pada 31 Ogos dan 16 September ini di platform media sosial masing-masing dengan menggunakan tanda pagar #KibaranJiwaMerdeka.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi kemampuan rakyat untuk menjalani kehidupan yang lebih baik serta memiliki semangat cintakan negara.
“Konsep Malaysia Madani merupakan kunci utama dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam satu siaran media hari ini.
Aaron turut menggesa semua rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam Kempen Kibaran Jiwa Merdeka ini dan berharap agar media sosial dihiasi dengan gambar-gambar patriotik yang mampu menjadi simbol penyatuan dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Kementerian Perpaduan Negara berharap agar kempen ini dapat mempromosikan kebersamaan dan seterusnya membentuk jati diri serta semangat cinta kepada negara,’ katanya lagi.