Pihak urus agenda Bumiputera perlu laksana tugas bersungguh-sungguh – PM Anwar
PUTRAJAYA – Semua institusi dan pegawai yang menguruskan agenda Bumiputera diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat Kerajaan MADANI tercapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi amaran kepada pihak yang ‘merosakkan’ dan menyalahgunakan agensi untuk kepentingan mereka sendiri dan mengumpul kekayaan.
“Mereka yang melaksanakan agenda Bumiputera mesti melihat (inisiatif di bawah agenda) secara terperinci dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan cekap,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berterima kasih kepada agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Ketua Audit Negara dalam memastikan peruntukan kerajaan dibelanjakan dengan bijak dan membendung ketirisan.
“Sebagai contoh, agensi ini perlu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap kerana kita (kerajaan) mencurahkan berbilion ringgit.
“Kita kena pastikan mereka yang cuba merencatkan usaha perlu dihalang.
“Selain itu, kuasa yang lebih diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk memastikan ketiadaan ketirisan,” katanya lagi.