Kenyataan fakta, tidak bermaksud menghina institusi raja – tegas Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kenyataannya ketika berucap ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini sebagai satu fakta.
Malah Presiden BERSATU itu berkata, kenyataannya itu juga tidak bermaksud untuk menghina institusi raja.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataannya itu.
Terdahulu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum PRK Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.
Kenyataan itu mendapat perhatian, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang murka dan terkilan atas tindakan bekas Perdana Menteri itu yang memperlekeh serta mempertikai peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Justeru itu, Tengku Hassanal mahu pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara terang-terangan menyentuh sentimen raja, agama dan kaum (3R).