Bisnes & Ekonomi

LHDN pantau syarikat berskala besar menerusi operasi Mega Corp

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan operasi pematuhan khas yang menyasarkan syarikat berskala besar di sekitar Lembah Klang.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, operasi berskala besar itu yang dikenali sebagai Mega Corp berlangsung selama dua hari bermula Rabu hingga semalam.

“Operasi mega ini merupakan kolaboratif antara Jabatan Pematuhan Cukai dengan
tiga Cawangan Khas iaitu Cawangan Pembayar Cukai Besar, Cawangan Industri Khusus dan Cawangan Cukai Multinasional.

“Dengan kekuatan seramai 210 orang
pegawai, operasi kali ini diadakan bertujuan untuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang percukaian bagi syarikat berkategori besar, industri khusus dan multinasional.

“Selaku cawangan khas yang bertanggungjawab memungut sebahagian besar kutipan cukai langsung negara, inisiatif telah diambil dengan menjalankan operasi pematuhan secara bersepadu,” katanya.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Datuk Hisham Rusli.

Dalam pada itu katanya, operasi itu juga
menumpukan kepada isu perancangan cukai agresif, transaksi di antara syarikat
berkaitan dan industri khusus.

Sementara itu, Hisham dalam ucapannya berkata, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti pematuhan secara berterusan termasuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas pembayar cukai yang gagal melaporkan pendapatan yang sepatutnya dan melanggar undang-undang percukaian.

“Menerusi pelaksanaan operasi seumpama ini, LHDN berharap risiko ketirisan pendapatan negara dapat dibendung sekali gus menyumbang kepada kutipan cukai yang sepatutnya demi menegakkan keadilan percukaian terutamanya kepada pembayar cukai yang patuh.

“Semoga dengan pelaksanaan operasi ini, kadar pematuhan cukai khususnya dalam
kalangan syarikat berskala besar dapat diperkasa seterusnya memastikan kredibiliti sesebuah syarikat kepada undang-undang percukaian terus dipelihara demi menjamin masa depan generasi akan datang,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button