
MBSB buka permohonan Ihsan-i KWSP bermula esok
KUALA LUMPUR – MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) menawarkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh syariah, Ihsan-i kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula esok.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib, dalam satu kenyataan, kemudahan Ihsan-i yang disediakan itu bertujuan membantu ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun, yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh syariah ini dengan kadar kompetitif.
Katanya, jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun.
“Pemohon perlu membuat pembayaran ansuran bulanan sepanjang tempoh pembiayaan mengikut terma yang ditetapkan oleh pihak bank.
“Ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja.
“Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan syariah dan menggunapakai konsep Tawarruq. Antara kelebihan Ihsan-i adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal,” katanya.
Katanya, Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan Bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com bermula 7 April 2023.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune