ADUN Kota Kemuning kutuk keganasan agama di Bangladesh
KOTA KEMUNING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan mengecam sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku terhadap komuniti Hindu di Bangladesh susulan kejatuhan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
Preakas dalam satu kenyataan menzahirkan rasa bimbang dengan tindakan vandalisme terhadap kuil dan serangan yang disasarkan kepada masyarakat Hindu.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu perkembangan yang membimbangkan dan menuntut tindakan segera.
“Saya amat kesal dengan keganasan yang telah menggugat keamanan dan keharmonian agama di Bangladesh.
“Revolusi rakyat yang berlaku telah menggoncang asas negara menyebabkan peningkatan keganasan berasaskan perbezaan agama, terutamanya terhadap golongan minoriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Preakas berkata, keganasan yang tidak mengenal usia itu telah mencetuskan ketakutan dan ketidakpastian dalam kalangan komuniti Hindu di negara tersebut.
“Saya mendesak kerajaan sementara di Dhaka agar segera mengambil tindakan tegas untuk memulihkan keamanan dan keharmonian agama di negara itu.
“Keselamatan semua rakyat tanpa mengira agama harus menjadi keutamaan,” tegasnya.
Sebagai seorang yang berketurunan Hindu, Preakas meluahkan rasa sedih dan empati terhadap penderitaan yang dialami oleh komuniti Hindu di Bangladesh.
“Saya berdoa agar rakyat Bangladesh dapat kembali kepada keadaan aman dan harmoni seperti sebelum ini.
“Negara ini dibina oleh pelbagai komuniti dan apabila satu komuniti diserang, ia melemahkan keseluruhan struktur negara,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru kerajaan Bangladesh agar segera mencari jalan penyelesaian bagi mengakhiri keganasan ini.
“Masyarakat antarabangsa sedang memerhati dan adalah penting bagi Bangladesh untuk menunjukkan komitmen dalam melindungi semua rakyatnya tanpa mengira pegangan agama,” katanya lagi.
Preakas juga mengingatkan bahawa nilai-nilai keamanan, toleransi, dan keharmonian agama perlu ditegakkan bukan sahaja di Bangladesh, tetapi di seluruh dunia.