Berita Semasa

KPT gerak 5 IPT ‘indahkan’ pantai Kuala Sungai Baru

ALOR GAJAH – Sebanyak 300 kilogram (kg) sisa pepejal plastik berjaya dikumpulkan oleh warga daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) pada Program Santuni Madani KPT @ KSB di pantai Kuala Sungai Baru, pada Ahad.

Program itu dijalankan oleh 300 peserta terdiri daripada para pelajar dan tenaga pengajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Melaka (Unimel), Politeknik Melaka dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.

Turut hadir menjayakan program tersebut adalah Ketua Setiusaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Menurut Zaini, program tersebut merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan dalam usaha mengenal pasti masalah sosioekonomi dan membantu masyarakat setempat mengatasi isu dihadapi.

“Seiring dengan hasrat kerajaan, KPT melancarkan program Santuni Madani KPT di Kuala Sungai Baru untuk bersama-sama dengan masyarakat dan lima IPT membersihkan pantai di kawasan ini yang menjadi tumpuan pelancongan.

“Ramai penduduk kampung mengusahakan inap desa di kawasan ini sebagai sumber pendapatan utama mereka tetapi malangnya disebabkan status di sini adalah premis kampung, jadi tidak banyak kemudahan dari segi pengurusan sisa pepejal,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

PARA pensyarah turut sama membantu membersihkan kawasan pantai di Kuala Sungai Baru pada Program Santuni Madani KPT @ KSB di Melaka, pagi Ahad.

Tambahnya, seiring dengan usaha tersebut beberapa IPT berdekatan kawasan Parlimen Masjid Tanah itu akan menyediakan kertas cadangan kepada kerajaan negeri dan pusat bagi mencari solusi terbaik bagi pengurusan sisa pepejal.

“Kawasan ini mempunyai tiga potensi membangunkan ekonomi penduduk iaitu melalui sektor pelancongan tempatan dengan setakat ini sepanjang jarak lima kilometer dari Akademi Laut Malaysia sehingga pasar nelayan, terdapat lebih 100 rumah inap desa yang sentiasa penuh pada hujung minggu.

“Jadi kita mahu industri ini berkembang dengan sistematik dan berdaya maju, maknanya kadar sewaan itu dapat dinaikkan seiring dengan keindahan dan sistem yang lebih baik.

“Keduanya, dari segi alam sekitar di mana ada sistem pelestarian alam dibuat secara formal oleh semua pihak dan terakhir, Parlimen Masjid Tanah ini mempunyai enam IPT jadi kita berharap Kuala Sungai Baru ini menjadi lokasi pilihan oleh pelajar dari luar negeri dan negara melanjutkan pelajaran,” jelasnya.

Katanya lagi, sisa pepejal itu yang kebanyakannya adalah bekas makanan juga akan dianalisis oleh pasukan UTeM untuk mengenal pasti potensi perniagaan termasuk penghasilan produk-produk kitar semula seperti perabot.

Dalam pada itu, Rosli Abdullah memberitahu, kawasan berkenaan menerima ribuan pelancong khususnya pada hari hujung minggu, namun ketiadaan sistem pungutan sampah berjadual menyebabkan beberapa lokasi tercemar dengan longgokkan sisa pepejal.

“Saya berterima kasih kepada pihak KPT kerana berusaha bersama-sama dengan penduduk tempatan membersihkan kawasan dan diharap kerjasama ini dapat mencapai penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu ini dalam jangka masa panjang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button