Jenayah & Mahkamah

JSJN kesan tujuh cubaan seludup dadah ke penjara guna dron sepanjang tahun ini

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan tujuh kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam penjara seluruh di negara, sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, kes tanpa tangkapan itu dikesan berlaku di Kedah, Perak, Melaka, Kelantan dan Sarawak, lapor BH Online.

Tambahnya, antara dadah cuba diseludup masuk dan berjaya dirampas adalah ganja, heroin, syabu, ketamin dan pil yaba dengan keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 632.88 gram (g).

“Penggunaan dron untuk menyeludup masuk dadah bukanlah kes baharu sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di Johor pada 2020.

“Dalam kes itu, seorang lelaki warga Singapura ditahan kerana kesalahan mengedar dadah menggunakan dron ke Singapura membabitkan rampasan dadah syabu (13.6 g); pil ekstasi (11.83 g) dan heroin (2.5 g),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, pihak berkuasa mengesan cubaan menyeludup barangan dipercayai dadah menggunakan dron ke dalam sebuah penjara di Tapah, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang kakitangan penjara yang menemui dron berwarna putih di bumbung salah sebuah blok penjara.

Mengulas lanjut, Khaw berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung taktik berkenaan termasuk mengesan pelaku.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket disyaki menggunakan dron bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan siasatan akan dijalankan sekiranya terdapat penyalahgunaan teknologi itu.

Show More

Related Articles

Back to top button