Berita Semasa

FELCRA tolak dakwaan jual kilangnya

KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad menolak dakwaan terdapat usaha untuk menjual kilangnya seperti yang didakwa oleh Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELCRA Berhad, Datuk Idris Lasim berkata, tiada sebarang penjualan yang berlaku terhadap kilang-kilang tersebut dan ia masih kekal beroperasi seperti biasa.

“Tiada (juga) sebarang cadangan penjualan telah dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan,” kata Idris dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau turut menegaskan, FELCRA terus komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kepentingan semua pihak yang terlibat sentiasa diutamakan.

“(Pada masa yang sama) Memperkukuhkan kedudukan FELCRA Berhad dalam industri pengilangan hasil agrikomoditi seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Chegu Bard mendakwa telah menerima dokumen dan bertemu dengan beberapa individu yang menjadi sumber, bahawa proses penjualan kilang FELCRA sedang berlangsung.

Ini menimbulkan kenyataan balas Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bersumpah tidak pernah menjual mana-mana kilang Felcra.

FELCRA Berhad merupakan sebuah syarikat korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan berada di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Selepas 27 tahun dikorporatkan, ia telah berjaya mengagihkan melebihi RM8.11 billion agihan keuntungan kepada hampir 107 ribu orang peserta di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti dijalankan termasuk perniagaan yang memfokuskan pembangunan luar bandar iaitu perladangan melalui program penyatuan dan pemulihan tanah (P&P), dan juga pembangunan tanah secara komersil dan bidang agromakanan.

FELCRA Berhad turut terlibat menjalankan operasi perkilangan dan kejuruteraan, termasuk pengoperasian kilang pemprosesan kelapa sawit.

Sehingga kini, terdapat 5 buah kilang pemprosesan buah kelapa sawit yang beroperasi secara milikan penuh dan diuruskendalikan iaitu di Seberang Perak dan FELCRA Nasaruddin di Perak, Sungai Melikai dan Bukit Kepong di Johor, dan di Maran, Pahang.

Show More

Related Articles

Back to top button