Berita Semasa

Jenazah Awang Askandar selamat tiba di kampung halaman

KOTA KINABALU – Jenazah pendaki negara, Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di pekarangan MAS Kargo di sini pada pukul 2.20 petang tadi.

Ketibaan jenazah anggota ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME2023) tersebut disambut abangnya, Awang Asim Ampuan Yaacub,57, sebagai satu-satunya wakil keluarga.

“Hanya saya seorang mewakili keluarga berada di sini. Isteri dan anak-anak Allahyarham berada di rumah.

“Kami bersedih atas pemergian Awang Askandar,” katanya ringkas ketika ditemui.

Turut hadir menyambut ketibaan jenazah adalah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali; bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan.

Jenazah Awang Askandar diusung masuk ke dalam van oleh pasukan pengusung APM yang tiba di pekarangan MAS Kargo seawal 1 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir oleh keluarga terdekat serta pengurusan tertinggi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni dan dikebumikan bersebelahan dengan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni.

Allahyarham Awang Askandar merupakan salah seorang peserta Malaysia Everest 2023 (ME 2023) dan beliau dilaporkan maut akibat terjatuh pada 19 Mei lalu semasa berada pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut iaitu hanya 20 minit sebelum sampai ke puncak Everest.

Setakat ini, seorang lagi rakan pendaki Allahyarham Awang Askandar iaitu Muhammad Hawari Hashim,33, masih dilaporkan sebagai hilang selepas berjaya menawan puncak Everest.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button