Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato memukau
KUALA LUMPUR – Kumpulan lagenda Blues Gang mengubat kerinduan peminat melalui persembahan bertenaga dan memukau, Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Blues Gang yang mula dikenali sekitar tahun 1979 melalui album Inggeris mereka, Anytime, Anyday, membuka konsert tepat pada pukul 8.30 malam dengan alunan Dikir Rambong yang diiringi alat muzik seruling, memeriahkan suasana pembukaan.
Tidak lama selepas itu, vokalis utama, Ito, tampil ke hadapan dan mula mendendangkan beberapa lagu ikonik seperti Malaya Blues, Oh Mak Siti dan Ibu.
Ito berkata, lagu Ibu mempunyai nilai sentimental buat Blues Gang, lagu itu merupakan hasil karya pemain bes mereka, Jim Madasamy yang meninggal dunia pada tahun 2018, disusuli oleh pemergian Allahyarham Shaikh Karim, salah seorang pengasas bersama kumpulan ini.
Sepanjang konsert, Blues Gang mempersembahkan beberapa lagu klasik yang menjadi kegemaran peminat seperti Jumpa Kawan Lama, Sakit Sakit Sakit, Cinta Oh Cinta, Ku Tetap Menanti, Ceritaku dan Don’t You Hide.
Penonton dikejutkan dengan kehadiran rakan lama dari Australia, Alex Terry yang mempersembahkan permainan harmonika memukau.
Selain itu, penyanyi Shasya Zainal turut diundang untuk menyanyikan lagu Panasnya Hari Ini dan Proud Mary, menambah warna dalam konsert tersebut.
Ketika sesi persembahan, Ito turut membuat cabutan bertuah untuk empat peminat bertuah yang hadir, sebelum mengungkapkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada penyanyi tersohor, Datuk Ramli Sarip, yang turut hadir memberi sokongan.
“Saya sangat berterima kasih kepada sahabat saya, Ramli, yang hadir pada malam ini. Juga kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan konsert ini, dan tidak lupa kepada semua peminat yang datang. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Konsert diteruskan dengan lagu-lagu penuh makna sebelum menutup tirai persembahan dengan lagu-lagu popular mereka, Bebaskanlah dan Oh! Mama Saya Mahu Kahwin.
Blues Gang yang diketuai oleh Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut turut dianggotai oleh Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Abu Talib yang memainkan gitar kedua serta keyboard.
Anak bongsu Ito, Kid Afero juga turut serta dalam kumpulan ini sebagai pemain gitar, meneruskan legasi yang dibina oleh ayahnya.
Di akhir konsert Ito berkata, konsert itu merupakan cerminan perjalanan lima dekad kumpulan Blues Gang yang penuh dengan liku-liku.