Malaysia tidak begitu terjejas dengan keputusan Tesla – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Keputusan Tesla Inc untuk membatalkan pembinaan kilang di Thailand, dan menilai semula rancangan pelebaran perniagaan mereka di Asia Tenggara dipengaruhi situasi kerugian dihadapinya dan kerana tidak mampu bersaing dengan industri kenderaan elektrik (EV) China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak begitu terjejas dengan keputusan Tesla, kerana berdasarkan laporan sebelum ini, syarikat itu hanya merancang meningkatkan pelaburan di negara ini, berbanding perancangan lebih besar di Thailand iaitu membuka hab kilang pembuatan EV.
“Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.
“Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Jadi itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, di sini hari ini
Terdahulu, Tengku Zafrul menerusi hantaran di akaun X miliknya berkata, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.
Jelas beliau lagi, MITI ada mengadakan perbincangan dengan Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi tidak melibatkan pembukaan kilang pembuatan.
“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.