Suspek pukul, cekik, tolak isteri ke dalam gaung direman tujuh hari
GERIK – Suspek yang disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung di Kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini 27 Julai lalu, direman selama tujuh hari.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret, Savinder Singh terhadap suspek yang bekerja sebagai peniaga.
Permohonan reman itu dibenarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
Terdahulu, lelaki berusia 39 tahun itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Gerik dengan memakai baju T berlengan panjang diiringi pegawai dan anggota polis pada pukul 8.50 pagi tadi.
Difahamkan, suspek sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah, Rabu lalu direman selama enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas disyaki mencederakan abang kandungnya.
Suspek bagaimanapun ditangkap semula oleh IPD Gerik selepas tempoh tahanan remannya itu berakhir, semalam.
Laporan media sebelum ini menyebut, suspek ditahan polis selepas disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke dalam gaung selepas berlaku pertengkaran mulut.
Mangsa berusia 32 tahun terjatuh gaung sedalam 10 meter (m) berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam sekitar jam 2 petang.
Akibat kejadian itu, difahamkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan telah menerima rawatan di Hospital Taiping.