Polis siasat kemungkinan penculikan Albertine bermotif pedofilia
JOHOR BAHRU – Polis masih menyiasat kemungkinan kes penculikan kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui di sebuah tapak festival di Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu bermotifkan pedofilia.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan dilakukan berdasarkan penemuan beberapa alat permainan seks termasuk pornografi melibatkan kanak-kanak di kediaman suspek.
Beliau berkata, siasatan perkara itu masih diteruskan dengan penahanan semula suspek baru-baru ini dan motif sebenar akan diketahui tidak lama lagi.
“Fokus siasatan kini tertumpu kepada petunjuk baharu dan kita harap dapat kenal pasti motif dalam masa beberapa hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.
Ditanya dakwaan ibu bapa kanak-kanak berkenaan telah menarik laporan mengenai kes itu, M. Kumar menafikan perkara terbabit.
“Tiada laporan ditarik balik kerana siasatan masih berjalan. Siasatan awal juga mempercayai suspek bertindak seorang diri dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah,” katanya.
Albertine dilaporkan hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri pada 20 Julai lalu dan ditemui semula di sebuah hotel bersama seorang suspek tiga hari kemudian di Batang Kali, Selangor.