
Bekas penyerang Manchester United, Falcao bakal sertai JDT?
KUALA LUMPUR – Desas-desus bahawa Penyerang Colombia, Radamel Falcao, 37, bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin bertiup kencang selepas dia dilaporkan bersedia untuk menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Menurut laporan media Sepanyol, Marca, kontrak Falcao bersama kelabnya, Rayo Vallecano bakal berakhir pada Jun ini dan dia bersedia untuk mencuba cabaran baharu bersama JDT.
Tambahnya, Falcao sedang menilai tawaran bagi menandatangani kontrak bersama JDT yang kini dibimbing Esteban Solari, namun belum ada pengesahan rasmi daripada kedua-dua pihak.
“JDT yang dimiliki oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menandatangani penyerang Colombia itu selama dua musim dan dia akan menjadi duta buat kelab dan bandar itu,” lapor agensi media tersebut.
Seandainya dia menandatangani kontrak bersama JDT, dia akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.
Untuk rekod, Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 selain dia turut pernah menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.