Kunjungan pelancong China meningkat 194 peratus – King Sing
PUTRAJAYA – Seramai 1,185,050 pelancong dari China sudah mengunjungi Malaysia setakat Mei 2024 iaitu peningkatan 194 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, peningkatan ketara ini merupakan hasil positif pengecualian visa antara kedua-dua buah negara.
“Saya menggalakkan semua syarikat penerbangan merebut peluang ini dan memperluas hubungan antara Malaysia dengan pelbagai negara untuk menyediakan lebih banyak kemudahan dan pilihan untuk pelancong selain mewujudkan situasi menang-menang,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
King Sing pada masa yang sama turut mengumumkan pelancaran penerbangan terus pertama AirAsia dari Ningbo, China ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Penerbangan ini akan beroperasi sebanyak tiga kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320 dengan kapasiti 180 tempat duduk.
“Usaha ini akan membantu menarik pelancong terutama dari Wilayah Zhejiang serta wilayah lain di China,” katanya lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India mulai 1 Disember 2023.
Sementara itu, China juga bersetuju melanjutkan pengecualian visa untuk pelancong Malaysia daripada 15 kepada 30 hari sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.