Haniyeh dibunuh dengan bom yang disembunyi 2 bulan lalu di rumah tamunya di Teheran
TEHRAN – Pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh dipercayai dibunuh dengan menggunakan bahan letupan pada 31 Julai lalu.
Bahan letupan tersebut didakwa diseludup secara rahsia ke rumah tamu Tehran tempat beliau tinggal, maklum tujuh pegawai Timur Tengah, termasuk dua warga Iran, dan seorang pegawai Amerika.
Bom itu telah disembunyikan kira-kira dua bulan lalu di rumah tamu itu, menurut lima pegawai Timur Tengah itu.
Rumah tamu itu dikendalikan dan dilindungi oleh Kor Pengawal Revolusi Islam dan merupakan sebahagian daripada kawasan besar, dikenali sebagai Neshat, di kawasan kejiranan mewah di utara Tehran.
Menurut lima pegawai itu, Haniyeh berada di ibu negara Iran untuk perasmian presiden dan bom itu diletupkan dari jauh sebaik sahaja ia disahkan berada di dalam biliknya di rumah tamu itu yang turut membunuh seorang pengawal peribadi.
Letupan itu menggegarkan bangunan, memecahkan beberapa tingkap dan menyebabkan sebahagian dinding luar runtuh, menurut dua pegawai Iran, anggota Pengawal Revolusi memberi taklimat mengenai kejadian itu.
Haniyeh, yang pernah mengetuai pejabat politik Hamas di Qatar, telah tinggal di rumah tamu itu beberapa kali ketika melawat Tehran, menurut pegawai Timur Tengah yang tidak mahu namanya disiarkan untuk berkongsi butiran sensitif tentang pembunuhan itu.
Pegawai Iran dan Hamas berkata pada hari Rabu bahawa Israel bertanggungjawab atas pembunuhan itu dengan penilaian yang sama dibuat oleh beberapa pegawai AS yang tidak mahu namanya disiarkan, lapor The New York Times.
Pembunuhan itu mengancam untuk melancarkan satu lagi gelombang keganasan di Timur Tengah dan membatalkan rundingan yang sedang berjalan untuk menamatkan perang di Gaza.
Israel tidak secara terbuka mengakui bertanggungjawab atas pembunuhan itu, tetapi pegawai perisikan Israel memberi taklimat kepada Amerika Syarikat dan kerajaan Barat lain mengenai butiran operasi sejurus selepas itu, menurut lima pegawai Timur Tengah itu.
Rabu lalu, Setiausaha Negara Antony J. Blinken berkata bahawa Amerika Syarikat tidak menerima pengetahuan awal tentang rancangan pembunuhan itu.