YADIM kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menzahirkan rasa dukacita dan mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, di Iran, semalam.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kematian Ismail Haniyeh adalah kehilangan besar kepada umat Islam khususnya kepada rakyat Palestin.
Katanya, Allahyarham merupakan simbol perjuangan demi kemerdekaan dan keadilan rakyat Palestin yang penuh dengan komitmen untuk membela bangsanya.
“Amat malang sekali, nyawa seorang pemimpin berjiwa besar, yang telah berjuang tanpa henti demi kebebasan telah diragut dengan amat tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu siaran media hari ini.
Beliau menambah, tindakan barbarik Israel itu sekali lagi membuktikan perlunya seluruh dunia tanpa mengira latar belakang bersatu menentang kekejaman rejim tersebut yang berulang kali melakukan pembunuhan atas alasan mempertahankan diri.
“YADIM dan para pendakwah di Malaysia turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Dr. Ismail Haniyeh atas pemergian ini.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga beliau dalam menghadapi kehilangan yang amat besar ini.
“Kami mendoakan agar mereka diberikan ketenangan hati dan kecekalan jiwa untuk melalui detik-detik sukar ini. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh beliau dan menempatkannya di kalangan para syuhada,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan keyakinan YADIM bahawa akan lahir lebih ramai Dr. Ismail Haniyeh yang akan bangkit dengan lebih teguh untuk meneruskan legasi beliau, memastikan pengorbanannya tidak sia-sia.