Berita Semasa

Disyaki cuba melarikan diri, MT CERES 1 alami kerosakan dihanyut arus laut

KUALA LUMPUR – Kapal KM Pekan dan pesawat Bombardier CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah digerakkan bagi menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) MT CERES 1 yang dilaporkan hilang dari lokasi insiden pelanggaran kapal terbabit dengan MT HAFNIA NILE pada 19 Julai lalu.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim yang juga
melaksanakan tugas Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia,
Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pada awalnya MT
CERES 1 disyaki cuba melarikan diri dari lokasi insiden.

Namun katanya, setelah kapal tersebut ditemui pada kedudukan 98 batu nautika Timur Laut Pulau Tioman bersama dua bot tunda iaitu PSA VALKYRIE CS06 dan KST ZODIAC, pihaknya mendapati enjin MT CERES 1 tidak berfungsi sepenuhnya menyebabkan kapal tersebut dihanyutkan arus dari kawasan insiden bersama dua bot tunda tersebut.

“Kedua-dua bot tunda berkenaan dilantik oleh ejen kapal bagi tujuan melawan api dan menyejukkan MT CERES 1 namun tidak berkeupayaan menunda kapal tersebut untuk kembali ke posisi kejadian menyebabkan kedua-dua bot tunda berkenaan turut hanyut bersama MT CERES 1 semasa proses bantuan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media Ketua Pengarah Jabatan Laut
Malaysia (JLM) mengenai status insiden pelanggaran kapal MT HAFNIA
NILE dan MT CERES 1 sempena Malaysia Maritime Week 2024 (MMW24) di ibu
negara hari ini.

Zawawi berkata, 14 orang daripada 40 kru MT CERES 1 telah diselamatkan oleh RSS Supreme, manakala baki 26 orang kru berada dalam kapal dengan kesemua mereka selamat dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Katanya, operasi Carilamat yang dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia itu ditamatkan pada 22 Julai lalu.

“Sehingga operasi Carilamat ditamatkan, MT CERES 1 kini dilaporkan berada di
kedudukan 8.4 batu nautika Timur Laut Sedili Besar manakala MT HAFNIA NILE berada di posisi 17.2 batu nautika Tenggara Tanjung Sedili dalam Perairan Wilayah Malaysia di bawah pemantauan Jabatan Laut Malaysia bagi tujuan kerja-kerja pemulihan.

“Maritim Malaysia komited dalam menjalankan tugas penguatkuasaan
dan Carilamat di perairan negara. Insiden ini menunjukkan betapa pentingnya
persediaan dan koordinasi yang baik antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan di laut.

“Maritim Malaysia juga menasihatkan
kepada semua pihak khususnya
komuniti maritim untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan dan memastikan keadaan kapal dalam keadaan baik sebelum memulakan pelayaran,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button