Aktivis masyarakat buat laporan terhadap Pengerusi KADA di SPRM
PUTRAJAYA – Satu laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husain, dibuat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Laporan dibuat oleh seorang aktivis masyarakat yang dikenali sebagai Tuan Lokman Tuan Soh yang mendakwa salah laku berkenaan dilakukan sejak beberapa bulan lepas.
“Ini sangat mengecewakan memandangkan para petani di kawasan KADA masih berdepan dengan kemiskinan dan masalah kekurangan air semasa kemarau.
“Namun, penyelewengan ini tetap berlaku,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat SPRM, hari ini.
Sehubungan itu, Tuan Lokman berharap agar SPRM melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dakwaan tersebut.
“Semoga SPRM akan segera menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan ini.
“Dalam Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kita memerlukan jabatan dan kakitangan yang berintegriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya lagi.
Tuan Lokman, bersama dua individu lain, tiba di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 9.30 pagi dan kemudian dilihat ditemani beberapa pegawai SPRM untuk menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan dakwaan tersebut.