Berita Semasa

Yayasan RYTHM bantu pendidikan Orang Asli, lancar modul pembelajaran ‘Sikulah Bateq’

KUALA LUMPUR – Yayasan RYTHM secara rasminya telah melancarkan modul pembelajaran baharu diberi nama ‘Sikulah Bateq’ (sekolah bateq) yang dirangka bagi pengajaran literasi dan numerasi asas bagi murid pra-sekolah dan pendidikan rendah kanak-kanak khusus buat komuniti Orang Asli.

Pengerusi Yayasan RYTHM, Datin Seri Umayal Eswaran menekankan bahawa ramai pelajar, termasuk masyarakat Orang Asli tercicir daripada sekolah sebelum menamatkan pendidikan asas mereka, dengan kumpulan tertentu mencatatkan kadar keciciran melebihi 50 peratus.

Umayal berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini, seperti ketidakupayaan untuk menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan arus perdana dan kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa.

“Ibu bapa bergelut setiap hari untuk hidup dan mereka berfikir, apa yang pendidikan akan dilakukan? Jadi, mereka tidak menggalakkan anak-anak mereka pergi ke sekolah,” katanya sambil menambah bahawa ramai kanak-kanak Orang Asli mengalami malasah kurang keyakinan diri.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas sesi meja bulat mengenai pendidikan dan kehidupan Orang Asli di sini, baru-baru ini.

Yayasan RYTHM turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti dan mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Umayal turut menekankan kepentingan mendidik guru mengenai kehidupan dan budaya Orang Asli.

“Walaupun mereka bersekolah dan pulang ke rumah, ibu bapa mereka tidak boleh mengajar atau membantu mereka membuat kerja rumah kerana ibu bapa mereka tidak berpendidikan,” katanya.

“Kanak-kanak Orang Asli perlu diberi sokongan sewajarnya oleh guru dan warden sekolah untuk memberi mereka peluang terbaik menamatkan pendidikan asas mereka,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy berkata, pengenalan modul pembelajaran itu merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan yayasan tersebut memperkasa dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pendidikan.

“Modul ini membincangkan kedua-dua kemahiran akademik dan kehidupan. Modul ini direka bentuk dengan mengambil kira perkembangan holistik kanak-kanak.

“Modul itu mengintegrasikan mata pelajaran tradisional dengan pelajaran kesihatan, kebersihan, kesedaran alam sekitar dan pendidikan berasaskan nilai,” katanya.

Santhi berkata, tujuan modul itu dilancarkan adalah bagi memupuk pendidikan dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli, sekali gus meningkatkan keyakinan dan kebolehan mereka.

Jelas beliau, Yayasan RYTHM turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti dan mengubah kehidupan menerusi perkongsian strategik, khidmat masyarakat dan aktiviti kesukarelawanan yang menekankan kepada pendidikan, pemerkasaan, dan kelestarian alam sekitar.

Show More

Related Articles

Back to top button