Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tujuh anggota penguatkuasa terima suapan lindungi peniaga ‘Ali Baba’ direman

KUALA LUMPUR – Tujuh daripada lapan anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman selepas dipercayai menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi operasi perniagaan yang menggunakan lesen ‘Ali Baba’ di sekitar ibu negara.

Lima daripada suspek yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu direman selama lima hari manakala dua lagi direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sumber SPRM berkata, suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM12,000 sebulan dari premis perniagaan yang menggunakan lesen ‘Ali Baba’.

“Kesemua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki melindungi premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

“Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis berkenaan,” katanya.

Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan SPRM dalam Op Orange di antara pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi semalam.

Operasi dilakukan SPRM adalah hasil risikan selama enam bulan yang lalu.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi berkata seorang suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

 

Show More

Related Articles

Back to top button