Berita SemasaLuar Negara

Proses evakuasi rakyat Malaysia di Bangladesh bermula esok

 

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar di Dhaka esok susulan protes anti-kerajaan semakin memuncak di Bangladesh.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi kelulusan supaya perancangan membawa pulang rakyat Malaysia dari negara itu disegerakan.

“Perkara ini tidak akan selesai dalam masa terdekat dan kita putuskan untuk bawa pulang rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Menurutnya, penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia A330 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pukul 10 pagi esok.

Mohamad berkata, seramai 139 pelajar disahkan berada di negara itu dan 15 daripadanya telah selamat pulang.

“Setakat hari ini seramai 124 pelajar yang masih berada di sana cuma seorang pelajar di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang kerana berada jauh dari kawasan rusuhan dan Konsul Terhormat telah memberi jaminan keselamatan terhadapnya,” katanya.

Jelas beliau, setakat ini seramai 192 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) Dhaka.

“Pesawat akan berlepas pulang pada hari sama sebaik sahaja urusan pendaftaran penerbangan selesai,” katanya lagi.

Mohamad berkata, seramai 139 pelajar disahkan berada di negara itu dan 15 daripadanya telah selamat pulang.

“Angka tersebut akan bertambah kerana difahamkan masih ada yang belum berdaftar.

“Kami juga baru menerima maklumat seramai 10 orang rakyat kita yang bekerja sebagai juruterbang bersama keluarga mereka berada di negara itu memohon untuk kembali ke tanah air dalam pelan evakuasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memohon semua pihak agar bertenang dan tidak menokok nambah terhadap usaha kerajaan membawa pulang rakyat dari negara itu.

Jelas beliau, Wisma Putra telah berhubung dengan STM Dhaka sejak hari pertama rusuhan berlaku bagi mendapatkan perkembangan terkini di sana.

“Dari hari pertama Wisma Putra berurusan dengan STM Dhaka dan saya sendiri berurusan setiap hari,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button