Berita Semasa

Bacaan Qunut Nazilah tidak sepatutnya digunakan dalam konteks perselisihan sesama orang Islam – IKIM

KUALA LUMPUR – Bacaan Qunut Nazilah merupakan doa khusus yang dibaca ketika umat Islam menghadapi ancaman besar terhadap agama serta keselamatan mereka dan tidak sepatutnya digunakan dalam konteks perselisihan atau konflik sesama orang Islam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, tindakan membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip persaudaraan dan boleh menimbulkan perpecahan serta kebencian dalam kalangan umat Islam.

Katanya, ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang menegaskan, seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain dan dia tidak boleh menzalimi, menghina dan merendahkannya.

“IKIM menyeru semua pihak supaya berhati-hati dalam menggunakan Qunut Nazilah dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan politik atau peribadi.

“Kita harus sentiasa berusaha untuk menyelesaikan perselisihan dengan cara yang baik, melalui dialog, musyawarah, dan perdamaian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, IKIM turut menggesa semua pihak supaya merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan mendapatkan nasihat daripada ulama yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan yang berkaitan dengan agama.

“Marilah kita bersama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam, serta berusaha untuk menyebarkan nilai-nilai Islam yang sebenar, iaitu kasih sayang, toleransi dan persaudaraan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan, umat Islam tidak boleh membaca Qunut Nazilah kepada sesama Muslim ketika terdapat pertembungan tidak mengira apa jua sebabnya termasuk perselisihan politik.

Pejabat Mufti menyatakan tindakan sedemikian akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrem dan melampau dalam agama.

Show More

Related Articles

Back to top button