Berita Semasa

Buli siber: ‘Kita akan hantar satu mesej yang sangat keras dan jelas’ – Fahmi

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap beberapa platform media sosial, susulan isu buli siber yang membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau menyifatkan platform terbabit tidak mengambil kisah dalam menyelesaikan masalah berkaitan media sosial.

Justeru itu, Fahmi berkata, kerajaan akan menghantar satu mesej yang jelas dan keras kepada platform-platform terbabit.

“Saya tidak rasa mereka mengambil kisah, jadi cukuplah. Kita akan menghantar satu mesej yang sangat keras dan jelas kepada platform-platform ini. Nantikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan pihaknya dengan tiga kementerian, iaitu Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Katanya, perbincangan itu adalah untuk meneliti aspek undang-undang sedia ada, penggubalan undang-undang baharu dan pelaksanaan undang-undang berkenaan.

“Kita melihat teknologi yang ada hari ini, sama ada kecerdasan buatan (AI) mahupun pelbagai platform media sosial… mungkin aspek teknikal itu kita perlu bantu pihak penyiasatan dan seterusnya kepada aspek pendakwaan.

“Di sini, saya nampak ada beberapa perkara, contohnya dalam kes mendiang Rajeswary Appahu atau Esha yang membunuh diri dipercayai akibat buli siber daripada sesi TikTok live,” katanya.

Fahmi berkata, beliau pernah melihat sesi TikTok secara langsung dan merasakan terdapat segelintir komen agak keterlaluan, seolah-olah menjurus ke arah membolehkan penonton lain hilang adab dan kewarasan.

“Bukan saja mereka yang melakukan tetapi juga yang membolehkan kecaman dan menjemput orang lain memaki hamun,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button