Percepatkan SDGs bantu matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025 dicapai – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Malaysia menzahirkan komitmen untuk mempercepatkan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, pelaksanaan SDGs itu penting bagi memastikan matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025 dapat dicapai.
Jelas Kor Ming, pelaksanaan SDGs itu termasuklah menerusi pendekatan strategik dan inovatif yang dirancang serta diketuai oleh kementerian yang berkaitan.
“Malaysia percaya bahawa pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu sebagai cara yang konstruktif untuk mencapai SDGs.
“Kami berharap untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025. Kami percaya bahawa perumahan, terutamanya penyediaan perumahan mampu milik yang mencukupi, adalah kritikal untuk kami mencapai pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata ketika menyampaikan kenyataan Malaysia di Dewan Perhimpunan Agung PBB di New York, semalam.
Dalam ucapan itu, Kor Ming berkata, Malaysia komited dalam menyatakan sokongan terhadap Agenda Perbandaran Baharu, sekali gus membantu negara anggota di rantau Asia Pasifik bagi menyediakan dan mengemukakan laporan mereka.
Mengulas mengenai usaha dalam mempercepatkan pelaksanaan SDGs, Kor Ming berkata, kerajaan telah menugaskan setiap SDGs kepada kementerian sebagai peneraju khusus yang bertanggungjawab untuk menyusun strategi, merancang dan mengambil tindakan dalam menyampaikan penyelesaian yang berkesan dan inovatif.
“Hab Pangkalan Data Pusat atau PADU telah diperkenalkan awal tahun ini bagi repositori data sosio-ekonomi yang lebih adil serta memastikan bantuan yang disasarkan sampai kepada kumpulan yang layak.
“Bulan lepas, kami juga telah mengambil tindakan berani dan tidak pernah berlaku sebelum ini dengan beralih daripada pendekatan subsidi bahan api diesel secara bersasar.
“Pembaharuan ini dijangka menghasilkan penjimatan yang ketara setiap tahun dan mengukuhkan kestabilan fiskal dan menyokong inisiatif pembangunan yang lebih mampan,” katanya lagi.